Friday, March 16, 2012

PEMAKAIAN TANGKAL..APA HUKUMNYA?

Pada satu ketika, sepuluh orang datang untuk memberi janji taat setia kepada Rasulullah s.a.w.. Baginda menerima janji dari kesemua 9 orang kecuali seorang. Baginda ditanya, kenapa enggan menerima janjinya? Baginda menjawab:“Sesungguhnya padanya ada tangkal.”
Lalu orang tersebut memasukkan tangan ke dalam bajunya, mengeluarkan sebuah tangkal dan membuangnya. Melihat tindakannya itu, Rasulullah s.a.w. menerangkan:
“Sesiapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia (berbuat) syirik.” [al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Munziri, hadis no: 5065 dengan sanad yang hasan].

Berdasarkan hadis tersebut, dapatlah kita fahami bahawa sesungguhnya perbuatan memakai tangkal itu adalah bertentangan dengan syarak dan ianya perlu dipandang serius.Bukan sesuatu yang janggal sekiranya rata-rata orang hari ini masih mengamalkanya.

Tangkal adakalanya disebut sebagai azimat. Kedua-duanya memiliki maksud yang hampir sama. Kamus Dewan mendefinisikan tangkal sesuatu yang digunakan untuk menolak bala seperti penyakit, hantu, jin dan lain-lain. Azimat pula adalah bahan yang terdiri dari tulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratan kayu tertentu, atau sisik tenggiling yang dipakai pada bahagian tertentu tubuh seperti di pinggang yang dianggap mempunyai sakti dan boleh mengelakkan penyakit, bencana dan sebagainya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Mas’ud radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam mengisyaratkan tentang azimat dan hukumnya. Kata Ibnu Mas’ud: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّماَئِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

“Sesungguhnya jampi-jampi, azimat-azimat, dan guna-guna adalah syirik.”
(HR. Imam Ahmad di dalam Musnad 1/381, Abu Daud di dalam Sunan-nya 7/630, Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak 4/217, 418, At-Tabrani di dalam Al-Kabir 10503, dan Al-Baihaqi di dalam Sunan Al-Kubra 9/350)

Sama ada tangkal atau azimat, ia tidak akan mendekatkan manfaat atau menjauhkan mudarat bagi orang yang memakainya. Bahkan ia menjauhkan manfaat dan mendekatkan mudarat. Ini kerana mendekatkan manfaat atau menjauhkan mudarat dapat diperoleh dengan merujuk terus kepada Allah s.w.t..

Menggunakan tangkal sebagai “jalan tengah” tidak akan memberi apa-apa faedah. Rasulullah s.a.w. menyifatkan penggunaan tangkal sebagai:
“Sesiapa menggantung tangkal maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya) dan sesiapa menggantung cengkerang siput maka Allah tidak akan mententeramkan baginya (dengan siput tersebut).” [al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Munziri, hadis no: 5064 dengan sanad yang hasan].

Dalam satu riwayat lain Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki yang ada ikatan di tangannya, baginda bertanya: “Apakah ini?” Lelaki itu menjawab: “Aku menjadikannya sebagai pelindung daripada sejenis penyakit.” Lalu Rasulullah bersabda: “Tiadalah ia menambah bagi kamu kecuali kelemahan. Lemparkan ia daripadamu, kerana sesungguhnya jika kamu mati dan ia berada di atasmu, tidaklah ia akan membantu kamu selama-lamanya (sehingga ke Hari Akhirat).” [al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Munziri, hadis no: 5067 dengan sanad yang hasan].

Pemakaian tangkal di tubuh badan sebagai penghalang makhluk halus atau penyakit boleh dikategorikan kepada 2:

1. Menggunakan tangkal yang mempunyai bahan seperti tulang binatang, kayu atau bahan2 lain yang dikatakan berhikmah. Para Ulama tidak ada khilaf untuk MENGHARAMKANNYA kerana ia boleh menjerumuskan seseorang ke arah syirik.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Barangsiapa yang menggantungkan manik-manik (tangkal), maka Allah tidak akan menjaganya.Barangsiapa yang menggantungkan tamimah(tangkal) maka Allah tidak akan menyempurnakan sesuatu untuknya. (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

2.Menggantungkan tangkal yang bahannya adalah ayat Al-Quran. Para ulama berbeza pendapat. Ada yang mengatakannya HARAM dan ada yang mengatakannya HARUS.

Gol. yang MENGHARAMKANNYA ialah: Ibn Abbas, Huzaifah, Ibnu Mas'ud,sebahagian ulama Syafie dan Imam Ahmad Ibn Hanbal(salah satu riwayat drpdnya)

HUJAH mereka pemakaian tangkal boleh menyebabkan seseorang gilang pergantungan kepada Allah dan bergantung harap pada tangkal tersebut sedangkan tawakal atau pergantungan seseorang hamba hanyalah kepada Allah sahaja semata-mata.

Gol. yang MENGHARUSKAN pemakaian tangkal ayat Quran pula ialah: Abdullah bin Amru bin Al-As, Abu Jaafar Al-Baqir, dan Imam Ahmad Ibn Hanbal(salah satu riwayat drpdnya)

HUJAH mereka ialah sahabat Rasulullah pernah berbuat demikian kepada anak-anak mereka yang belum dapat menghafaz Al-Quran.

Di antara dua pendapat ini, yang lebih selamat ialah tidak boleh. Antara sebabnya adalah, jika kita memperhatikan hadis-hadis di atas yang melarang penggunaan tangkal, Rasulullah s.a.w. tidak membezakan sama ada tangkal tersebut dijampi dengan apa. Sebaik sahaja baginda mengetahui seseorang itu menggunakan tangkal, baginda terus melarangnya. Bahkan menghukumnya sebagai satu perbuatan syirik.

Dalam hadis-hadis sahih yang lain, baginda banyak mengajar jampi-jampian yang menggunakan al-Qur’an, zikir dan doa sebagai pelindung dari penyakit dan perbuatan dengki orang lain. Akan tetapi dalam hadis-hadis tersebut, baginda tidak mengajar agar jampi-jampian itu dilakukan ke atas tangkal. Sebaliknya hendaklah orang yang inginkan perlindungan membaca sendiri jampi-jampian dengan kefahaman dan penghayatan. Agaknya mengapa Rasulullah s.a.w. tidak mengajar sedemikian?

Sebabnya mudah sahaja. Sekali pun dijampi dengan al-Qur’an, zikir dan doa, orang yang memakainya akan tetap memiliki keyakinan bahawa yang memberi manfaat dan menjauhkan mudarat ialah tangkal itu sendiri dan bukannya Allah. Keyakinan sebegini adalah syirik. Orang-orang yang memakai tangkal, apabila ditanya “Kenapa anda memakai tangkal?”, nescaya dia menjawab: “Ini hanya sebagai sarana, yang sebenarnya melindungi saya ialah Allah!” Jawapan ini hanya benar di bibir, tidak di hati.

jika anda memiliki seorang rakan yang menggunakan tangkal dengan alasan seumpama di atas, cuba anda mencari jalan untuk mengambil dan menyembunyikan tangkalnya. Nescaya anda akan dapati rakan tersebut menjadi kelam kabut mencari tangkal itu. Jika dia tidak menemuinya, tentu dia akan menjadi resah, hilang keyakinan diri, serba ketakutan, risau tak menentu dan pelbagai lagi sikap negatif. Semua ini menjadi bukti bahawa yang diyakininya sebagai pelindung ialah tangkal dan bukannya Allah. Ini kerana jika dia menjadikan Allah sebagai pelindung, nescaya dia akan tetap seperti biasa kerana mengetahui Allah sentiasa melindungi para hamba-Nya selagi mana para hamba tersebut meminta perlindungan dari-Nya. Oleh itu, pendapat yang selamat ialah tidak menggunakan tangkal sekali pun ia dijampi dengan al-Qur’an, zikir dan doa.

Pemberi manfaat dan penjauh mudarat yang sebenar ialah Allah s.w.t. dan kita dapat memperolehnya secara terus tanpa perlu kepada apa-apa benda sebagai perantara mahu pun sarana. Penggunaan tangkal adalah sesuatu yang agak lazim di kalangan masyarakat. Jika anda memakainya, maka buanglah ia sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadis di atas. Jika anda mengetahui ahli keluarga atau rakan-rakan lain yang memakainya, jangan sekadar bermain ujian menyembunyikannya, tetapi nasihatkanlah mereka untuk membuangnya.

dalam hadis marfu’ dari Abdullah bin ‘Ukaim Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

من تعلق شيئا وكل إليه

“Barang siapa yang menggantungkan sesuatu (dengan anggapan bahawa barang tersebut bermanfaat atau dapat melindungi dirinya), maka Allah akan menjadikan orang tersebut selalu bergantung kepadanya.” (HR. Ahmad dan At Tirmizi)


Imran bin Husain radhiallahu’anhu menuturkan bahawa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam melihat seorang lelaki memakai gelang, kemudian baginda pun bertanya:

ما هذه ؟، قال : من الواهنة، فقال : انزعها فإنها لا تزيدك إلا وهنا، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدا

“Apakah itu? Lelaki itu menjawab: “Gelang penangkal penyakit”, lalu Nabi bersabda: “Lepaskan gelang itu, kerana sesungguhnya ia tidak akan menambah kecuali kelemahan pada dirimu, dan jika kamu mati sedangkan gelang ini masih ada pada tubuhmu maka kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.”
(HR. Imam Ahmad)

HANYA ALLAH SAHAJA YANG MAMPU DAN BERKUASA UNTUK MELINDUNGI MANUSIA DARIPADA SEGALA-GALANYA

No comments: